Thursday 22 November 2012

Fungsi Dan Kepentingan Bahasa Melayu




Pendahuluan:
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Bahasa Melayu telah diwartakan  sebagai Bahasa Kebangsaan. Sesungguhnya Perkara 152 ini telah mengiktiraf dan mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara. Sebagai warga Malaysia yang merdeka kita harus bangga kerana memiliki bahasa kita sendiri sebagai identiti jati diri yang unggul . Oleh yang demikian, peranan bahasa Melayu tidak boleh dipandang ringan oleh warga Malaysia jika mahu melihat negara kita maju seiring dengan negara lain khususnya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di persada antarabangsa
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pembentukan tamadun bangsa kini makin tercabar di negara kita kerana sikap sesetengah pihak yang memandang remeh terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sekali gus meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks negara bangsa.
Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata “Kita tidak mahu negara ini menjadi negara maju dalam tahun 2020 tetapi bangsa Melayu hilang martabat dan kuasa sebagai bangsa yang cemerlang dan maju disebabkan bahasanya tidak dijadikan alat utama dalam proses itu. Ini kerana penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pentadbiran kerajaan tidak dianggap sebagai agenda penting dalam perancangan bahasa Melayu di negara ini,’’
Prof. Dr. Awang Sariyan pula menyatakan :  “Secara jelas bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa Pengucapan intelektual akan terhakis sehingga tidak mustahil bahasa Melayu hanya dikenali sebagai bahasa komunikasi sehari-hari’’
Situasi itu berlaku kerana kurangnya pengertian terhadap peranan bahasa Melayu dalam pembentukan konsep kebangsaan dan kenegaraan walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sudah pun dinobatkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang kita maklum, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan bagi kewujudan entiti politik, jati diri bangsa dan perpaduan negara.

Fungsi Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Penghantar di Sekolah (Komunikasi dan perpaduan)

Akta Pendidikan 1961 menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Hal ini dinyatakan dalam perkara Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan, iaitu:
DAN BAHAWASANYA peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki untuk menentukan agar dasar dilaksanakan secara berkesan, termasuk khususnya peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dalam mana Bahasa Kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama.
Penyata Razak (1956 ) dan Penyata Rahman Talib ( 1960 ) telah menyatakan bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan Negara. Penyata Razak telah menyatakan hasrat untuk “…menubuhkan suatu peraturan pelajaran kebangsaan..”, dan tujuannya ialah :
“..menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar ( utama ), walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan diperbuat dengan beransur.” ( Penyata Razak 1956 : Perenggan 12).
Penyata Rahman Talib menegaskan kembali syor menjadikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib dalam kurikulum semua sekolah. Ini dapat dirumuskan dari :
“..bahawa Bahasa Kebangsaan ini hendaklah diajar mulai Darjah 1 dalam semua sekolah rendah Cina, Tamil dan Inggeris ( sama ada sekolah bantuan, bantuan separuh tau sekolah-sekolah yang bersendiri.” ( Penyata Rahman Talib 1960: Perenggan 71(c) ).
“..Pelajaran rendah dalam Bahasa Kebangsaan akan dimajukan dengan mengadakan pelajaran menerusi Bahasa Kebangsaan di sekolah yang dahulunya sekolah rendah kerajaan, dengan syarat ada guru-guru yang sesuai, dan semua sekolah rendah bantuan akan diubah menjadi sekolah kebangsaan ataupun sekolah jenis kebangsaan”(Penyata Rahman Talib 1976: Perenggan 371(c).

Kemudian Akta Pendidikan 1996 diadakan dengan tujuan menggantikan Akta Pelajaran 1961. Antara alasannya ialah bahawa kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan utama di rantau ini, dan bahasa Inggeris perlu diwajibkan di semua peringkat persekolahan ( bahasa Melayu walaupun dikatakan sebagai bahasa pengantar ternyata dikecualikan dalam keadaan tertentu). Kedudukan Bahasa kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996 dijelasakan pada perkara 17 (1 ) iaitu :
“Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini
Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah bagi melahirkan bangsa Malaysia yang intelek tidak akan berjaya selagi rakyat itu sendiri tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Justeru, usaha digembleng bagi menggantikan pengantar bahasa Inggeris. Peristiwa 13 Mei 1969 telah menyegerakan proses penukaran dilaksanakan.
Tahap-tahap pelaksanaan:
1957-BM sebagai mata pelajaran wajib di semua peringkat sekolah rendah dan  
          menengah kerajaan.
1965-Kumpulan kecil pertama aliran Melayu memasuki UM.
1968-Kumpulan pertama aliran Melayu tamat pengajian di UM.
  -Sekolah menengah Melayu dimulakan di Sabah.
1970-Semua matapelajaran darjah satu diajar dalam bahasa Melayu (kecuali BI dan
          bahasa  ibunda).
1973-Semua mata pelajaran aliran sastera bagi tingkatan satu di sekolah menengah  
         Inggeris diajar dalam bahasa Melayu.
1975-Kelas peralihan Inggeris dihapuskan.
        -Semua sekolah rendah Inggeris ditukar menjadi sekolah rendah kebangsaan.
1976-Semua mata pelajaran aliran sastera di tingkatan IV diajar dalam bahasa Melayu.
1979-Bermula aliran sastera di tingkatan VI dalam bahasa Melayu.
1980-Menjadi bahasa pengantar di SMK mulai tingkatan 1 – 5.

 -Tahun pertama jurusan sastera di universiti diajar dalam bahasa Melayu.
1983-Tahun pertama pengajian di universiti bagi semua kursus diajar dalam bahasa
         Melayu

Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi

Bahasa adalah alat perhubungan terpenting. Melaluinya kita dapat menyatakan sesuatu atau memahami orang lain.  Komunikasi boleh berlaku sama ada secara lisan, bacaan atau tulisan namun hubungan secara lisan lebih meluas dan berkesan. Malaysia, penduduknya terdiri daripada berbilang bangsa, budaya dan agama. Sungguhpun menggunakan bahasa yang berbeza, namun penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan utama telah dapat mengatasi masalah komunikasi. Bahasa Sebagai Wadah Perpaduan Rakyat Malaysia. Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan adalah tunggak penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar kacir dan musnahlah sebuah negara berdaulat. Di Malaysia, terdapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai wadah atau alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara penduduk yang berbilang kaum. Selaras dengan itu, mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah dengan satu bahasa kebangsaan amatlah diperlukan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah satu pilihan bijak dan mampu serta terbukti menjadi wadah perpaduan. Oleh itu jelaslah bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa sepunya ini merupakan satu unsur utama dalam pembinaan negara bangsa Malaysia.

Penggunaan dan penguasaan bahasa Malaysia secara meluas akan berperanan sebagai wahana pembentukan identiti kebangsaan. Peranan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan ini tidak harus sekadar bersifat simbolis dalam pentadbiran tetapi seharusnya berperanan sebagai bahasa perantaraan dalam segala aspek dan peringkat kehidupan sosial dan kehidupan berbangsa di negara ini (Rustam Sani, 1993).
Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Laporan Razak pada tahun 1957 dan Laporan Rahman Talib tahun 1961, bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat. Berdasarkan peruntukan tersebut, bahasa Melayu memiliki hak dan martabatnya dalam perlembagaan sementara bahasa-bahasa bagi kaum lain juga dipelihara dan tidak dinafikan haknya. Abdullah Hassan (1987) menyatakan, selepas 1969 kerajaan dengan lebih tegas menjadikan pembelajaran bahasa Malaysia lebih teratur. Langkah tersebut ialah dengan melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah- sekolah secara berperingkat-peringkat. Dalam mengejar arus globalisasi masa kini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ini ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya (Abu Hassan Othman, 1997).
Oleh itu, penubuhan sekolah wawasan atau apa sahaja penubuhan sekolah yang dapat menyatukan tiga kaum utama ini adalah menjadi isu penting dalam pendidikan yang dapat mempercepatkan proses pembinaan negara bangsa Malaysia jika masalah perpaduan dapat ditangani dengan baik dan berhemah. Dalam usaha memperkasakan Bahasa Kebangsaan, peranan guru amat mustahak kerana melalui pendidikan murid-murid perlu disedarkan mengenai kepentingan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi di Malaysia. Selain itu, tanggungjawab pemimpin institusi pendidikan, pensyarah dan guru adalah untuk menyemai semangat cintakan bahasa Malaysia kepada generasi muda Malaysia supaya mereka fasih berbahasa Melayu, menghormati dan berbangga dengan bahasa Melayu sebagai identiti rakyat Malaysia.

Perkembangan kurikulum di Malaysia ke arah melahirkan warganegara global, selaras dengan perkembangan jaringan informasi. Sementara, dalam budaya Melayu kesantunan berbahasa menunjukkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi. Menguasai sesuatu bahasa juga bererti menguasai segala santun dan peraturan yang dipersetujui dalam menggunakan bahasa tersebut. Umpamanya dalam kata alu-aluan, kata silaan, ketika berundur diri dan sebagainya seharusnya menggunakan bahasa beradab dan berperaturan yang tetap, tidak boleh diubah sesuka hati. Kemahiran dalam peringkat tertinggi seperti begini boleh menghasilkan “pertukangan yang bermutu” boleh mencapai tahap “seni” , “budi” yang diidamkan. Oleh itu budi bahasa pun adalah suatu seni. Dalam memperkukuh peradaban Melayu dan supaya peradaban Melayu berkuasa di dunia kini, berbagai macam ‘senjata moden’ perlu dibuat dan dicipta.
Untuk mencapai tahap ketinggian, keindahan bahasa sebagai lambang estetika dalam berbahasa memerlukan pengorbanan dan pengabdian terhadap seni bahasa itu atau perasaan cinta terhadap seni bahasa tersebut. Sejajar dengan wawasan ini, kita harus bersedia menguasai bahasa Melayu dan senjata bahasa-bahasa lain dalam menjenterai ekonomi dan politik dunia hari ini. Ditinjau sejarah lampau, sejak merdeka penggunaan Bahasa Melayu dikembangluaskan dengan kemunculan beberapa institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai tunjang negara bangsa dapat diperlihatkan dalam agenda politik melalui teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu meletakkan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai strategi utama. Dalam mengorak langkah ke alaf 21, bahasa Melayu kini perlu diperkasa. Ini kerana cabaran pada alaf ini begitu hebat. Masyarakat Malaysia perlu berjiwa besar untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Golongan muda khususnya mahasiswa perlu menjadi tulang belakang dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Penutup
Berdasarkan keterangan di atas, jelas menggambarkan peri penting peranan bahasa dalam membina tradisi keilmuan, maka Bahasa Melayu harus diperjuangkan dan diletakkan sebagai bahasa saintifik serta diguna pakai dalam sistem pendidikan, pentadbiran malahan dalam semua agenda negara. Kita juga harus ingat bahawa bahasa Melayu ini bukan sahaja berperanan sebagai bahasa saintifik malah sebagai satu wahana buat masyarakat Malaysia menyatupadukan pelbagai kaum dalam usaha mencapai perpaduan nasional seperti yang diharapkan semenjak negara ini mencapai kemerdekaan. Ini kerana peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah jelas termaktub dalam perlembagaan negara Malaysia dan telah disepakati bersama oleh para ilmuwan sewaktu berlangsungnya Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Resolusi daripada kongres tersebut telah digubal menjadi Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 dan ini telah mengukuhkan lagi peranan Bahasa Melayu dalam masyarakat kita. Sebagai rumusannya, bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaannya, mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaiannya dan bukan berasa sangsi atau jijik hingga sanggup menganaktirikan bahasa sendiri. Ini telah terbukti yang mana Korea, dan Jepun disertai oleh China yang sangat mendaulatkan bahasanya mampu menjadi gergasi ekonomi dunia. Jelas sekali bahawa sesuatu bahasa tidak pernah menjadi penghalang kemajuan. Oleh yang demikian bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu.


No comments:

Post a Comment