Thursday 22 November 2012

REFLEKSI PENGAJARAN

Pendahuluan:
            Refleksi saya berdasarkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahun 4. Masa yang ditetapkan 30 minit. Tajuk pengajaran ialah ayat pasif dan ayat aktif. Setelah melihat semula rakaman dan pendapat daripada rakan-rakan dapatlah saya simpulkan kelemahan dan kelemahan pengajaran saya seperti berikut. Namun bagitu ada juga lain-lain kelemahan.

Kekuatan:

Kelebihan pertama yang dikenalpasti dalam penyampaian pelajaran saya adalah perancangan p&p saya dapat menimbulkan minat murid untuk belajar. Semasa saya menayangan slaid Microsoft Powerpoint tentang aktiviti membaca buku, anak murid tertarik dengan gambar-gambar yang saya tayangkan kerana ada unsur-unsur lucu dan menunjukkan minat untuk belajar. Mereka dapat memberikan nama aktiviti dengan betul. Semasa aktiviti soal jawab, saya berasa gembira melihat penglibatan dan kerjasama mereka yang baik semasa menjawab soalan. Apabila jawapan mereka betul, saya memberi pujian dan dapat melihat kepuasan ditunjukkan di air muka mereka. Apabila mereka dapat menjawab dengan betul, terbukti mereka memahami pengajaran yang saya sampaikan. Saya berasa puas hati kerana murid-murid dapat menikmati pembelajaran mereka dan objektif saya juga tercapai

Kelebihan kedua adalah kejelasan saya dalam memberikan arahan dan pengajaran. Kejelasan penyampaian memainkan peranan yang penting dalam pengajaran saya. Arahan yang  jelas dan ringkas memudahkan murid memahami kehendak saya dan bagaimana sesuatu aktiviti itu harus dijalankan. Pengajaran dapat disampaikan dengan jelas barulah murid dapat menjalankan pembelajaran dengan lancar. Seterusnya, mereka dapat melakukan aktiviti bertulis dengan betul tanpa melakukan sebarang kesalahan dan dapat mempelajari ilmu yang baru yang diajar pada hari itu.







Kelebihan ketiga pengajaran saya ialah kelantangan suara. Dengan suara yang lantang,murid dapat mendengar apa yang disampaikan dengan jelas dan seterusnya membantu pemahaman murid dalam pembelajaran. Kelantangan suara juga menunjukkan ketegasan dalam menyampaikan sesuatu. Kelantangan suara dapat menarik tumpuan murid supaya fokus kepada isi pelajaran saya tanpa menghiraukan gangguan-gangguan lain. Apabila saya menanyakan soalan, murid dapat mendengar dengan jelas serta menjawab dengan betul menunjukkan kefahaman mereka terhadap penyampaian saya. Ketegasan adalah terkandung dalam kelantangan suara semasa menyampaikan pelajaran. Ini membuatkan murid-murid lebih hormat kepada guru.

Kelemahan:

Kelemahan dan kekurangan pertama yang dikenalpasti dalam pelaksanaan tugasan  pengajaran makro saya ialah penggunaan bahasa baku yang salah. Ada ketikanya saya menggunakan bahasa dialek. Semasa melihat semula rakaman makro teaching saya, di dapati saya menyebut beberapa perkataan dialek walaupun bertujuan jenaka. Walau bagaimanapun, saya mengajar sebutan dan ayat betul agar mereka memahami bagaimana membentuk struktur ayat yang betul. Guru adalah pengajar murid yang pertama. Jika guru sendiri menyebut salah,  anak murid kita akan keliru. Saya dapati tanpa sedar saya telah dipengaruhi oleh bahasa pasar atau rojak.. Hal ini saya akan ambil secara serius dan akan lebih berhati-hati dalam pengajaran.

            Kelemahan yang kedua, set masa pada slaid powerpoint agak cepat bertukar semasa set induksi menyebabkan ada gambar yang tidak sempat saya beri penerangan lengkap. Walau bagaimanapun, semasa menggunakan projektor tayang untuk bacaan dan latihan ayat, murid dapat membaca dengan jelas disebabkan tayangan yang lama dan jelas. Pada masa tersebut saya dapat memantau aktiviti murid disetiap penjuru kelas. Saya juga meluangkan sedikit masa untuk memberi teguran kepada murid-murid yang nakal agar seluruh perjalanan pengajaran saya tidak terjejas. Jika guru tidak dapat mengurus atau menjaga tatatertib murid di dalam kelas dengan baik, maka murid tidak akan menumpukan perhatian dan mendengar pelajaran yang disampaikan.



            Kelemahan yang ketiga ialah ketepatan mengikut masa. Ketepatan masa penting bagi memastikan proses p&p berjalan dengan baik dan lancar. Berdasarkan perbandingan rakaman dan rancangan pengajaran harian (RPH) yang telah dibuat, didapati masa yang digunakan untuk menjalankan sesuatu langkah pengajaran tidak seiring. Hal ini disebabkan terdapatnya gangguan-gangguan dan hal- hal lain yang menyebabkan masa yang lebih diambil untuk melakukan sesuatu langkah tidak seiring. Walau bagaimanapun, masa keseluruhan pengajaran tidak terlalu terjejas dan dapat dijalankan dengan baik. Namun begitu, guru perlu memastikan murid faham akan isi pembelajaran daripada terikat dengan masa. Guru perlu fleksibel tentang masa.

Untuk masalah saya yang pertama, saya hendaklah membuat persiapan awal yang mencukupi untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku lagi. Saya hendaklah lebih berwaspada dan menumpukan perhatian semasa menjalankan pengajaran. Saya perlu memahami maksud kosakata dalam petikan dan penggunaan ayat pasif dan aktif. Bacaan adalah penting kerana murid Tahun 4 yang baru mula belajar jenis-jenis ayat dengan mendalam. Mereka perlu bersedia dengan penggunaan ayat sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR. Pengetahuan mendalam guru tentang jenis-jenis ayat amat penting. Semasa memperkenalkan kosakata yang baru, jika guru salah memberi maksud, murid akan terus keliru. Merujuki kamus juga perlu dilakukan. Sebagai seorang guru, pengetahuan mendalam tentang ayat dan maksud perkataan perlu dititik beratkan agar murid lebih faham. Dengan ini, kesalahan itu tidak akan berterusan dan bahasa Malaysia tidak akan tercemar atas kesilapan guru itu.

Masalah saya yang kedua, saya seharusnya berjalan dan memantau setiap aktiviti murid. Namun begitu saya mengunakan bilik tayang yang agak terbatas ruang menyebabkan kurang dapat bergerak kearah setiap murid. Saya menggunakan bilik tayang agar rakaman dapat berjalan dengan lancar walau ada juga gangguan. Ketetapan masa Slaid Powerpoint akan saya suaikan dengan penerangan saya agar ianya tidak bertukar semasa saya belum tamat memberi penerangan tentang gambar tersebut. Selain itu, guru perlu membantu murid secara dekat semasa mereka menjalankan aktiviti dan lebih mudah mengenal pasti kelemahan murid-murid melalui pemerhatian. Guru boleh memberi tunjuk ajar kepada murid yang lemah dan murid juga boleh berinteraksi dengan guru dengan mudah.


Bagi masalah yang ketiga ialah masa. Masa  p&p yang ditetapkan adalah supaya kita tidak terguna masa guru lain yang masuk ke kelas pada waktu yang seterusnya. Masa adalah salah satu elemen yang perlu dikira dalam setiap p&p. Guru perlu fikirkan apa jenis ABM, bahan pengajaran yang boleh digunakan dan sesuai dengan tahap penguasaan muridnya. Walaupun saya menetapkan lima minit diluangkan ke atas langkah set induksi, tetapi saya telah terlebih guna. Ini menyebabkan langkah pengajaran perlu dikurangkan. Oleh itu saya gabungkan 20 minit untuk penerangan dan latihan supaya murid lebih faham isi pembelajaran. Pada akhir pengajaran, saya telah gunakan 5 minit untuk meneliti kerja murid seterusnya membuat teguran terutama kepada murid lemah yang dikenalpasti. Walau bagaimanapun saya telah terlebih masa hampir 2 minit daripada keseluruhan masa p&p.

Kesimpulan:

 Kaedah pengajaran adalah sesuatu yang boleh ditentukan oleh guru sendiri secara fleksibel. Yang penting murid dapat belajar ilmu pengetahuan dan dapat mencapai objektif pengajaran tajuk pada hari itu. Oleh itu, guru hendaklah bijak merancang p&p supaya murid dapat menguasai kemahiran. Guru yang mengetahui kelemahan dan kekuatan murid. Pandangan dan teguran rakan-rakan dan murid boleh membantu memperbaiki kelemahan pengajaran guru.

10 comments: